Menentu, mencari, menggguna, mencatat, melapor dan menilai adalah asas dalam pencarian maklumat. Literasi maklumat menekankan pendekatan ini untuk memudahkan kemahirannya diaplikasikan di dalam kehidupan seharian.
Apa jua aktiviti yang berkaitan dengan pencarian maklumat itulah asasnya. Tiada undang-undang khusus dan tidak juga di dalam bentuk linear.
E-book, aplikasi, laman web, video dan laman sosial adalah budaya masa kini. Pokemon yang popular zaman 1990an hilang dan datang semula sebagai Pokemon Go dan menjadi “lifestyle” generasi sekarang. Oleh itu Pusat Sumber Sekolah juga perlu berubah dan tidak beku.
Bagaimana menjadikan PSS yang ada sekarang relevan kepada pelajar? Cukupkah sekadar mempunyai aktiviti NILAM dan buku tersusun kemas dengan DDC? GPM pula disogokkan dengan dokumen demi dokumen atas nama Pusat Sumber Cemerlang.
Prinsip asas untuk Pusat Sumber Abad ke 21
1. Ruang yang fleksibel
Ruang PSS yang mesra pengajaran dan pembelajaran (PDP) , pengguna Pusat Sumber Sekolah (PSS) menjadikan PSS sebagai pusat mencari maklumat dengan pelbagai cara, tidak semestinya buku. Sediakan ruang untuk perbincangan, mencari maklumat melalui teknologi, ruang untuk audio visual, skrin dan projektor yang kemas kini. Tempat perbincangan yang santai dan masa operasi PSS yang fleksi. Ini kerana PDPD PA21 memerlukan pelajar bergerak cergas, boleh berkomunikasi dan berkolaborasi serta kritis dan kreatif.2. PSS bukan gudang buku
Jika membeli bahan untuk PSS pastikan relevan dengan kehendak mata pelajaran semasa. Tukar rekabentuk PSS lebih moden dan mesra pengguna. Tukar warna dan susun atur menjadi lebih minimalis. Kurangkan warna garang dan pelbagai warna. Elakkan PSS menjadi khemah majlis perkahwinan dengan kerusi meja yang beropol ropol.Susunan buku juga perlu praktikal. Apa guna menyusun buku setinggi awan dan berkunci tetapi tidak pernah digunakan. Gunakan prinsip “eye level” dan mudah akses. Buku yang lupus boleh dijadikan hiasan dalaman yang menarik.
Cuba layari laman web e-book percuma seperti Project Gutenberg dan sekutunya yang lebih daripada 100,000 public domain dan Google telah mengimbas lebih 30 juta judul melalui library project–nya. Muat turun judul yang relevan dan sudah tentu sekolah dapat menambah koleksi digital percuma ini
3. Infrastruktur
Guru Perpustakaan dan Media perlu bekerjasama dengan pentadbir. Jika perubahan fizikal mahu dilakukan rancang untuk jangka masa panjang. Jika simen sudah dibancuh dan marmar telah dilekat, peluang untuk mengubahsuai akan padam. Plug, soket, papan interaktif, skrin perlu ada perancangan.PSS menjadi pusat media perlu cukup peralatannya dan jangan lupa WIFI dengan kelajuan tinggi serta sistem rangkaian “cloud based”.
Pencahayaan semulajadi dan aliran udara juga sebahagian daripada infrastruktur PSA21. PSS tidak lagi kelam dengan rak buku dan perabot yang banyak.
4. Keceriaan vs Penggunaan
PSA21 perlu realistik dan berfungsi. Tidak perlu hiasan yang mahal dan berserabut dengan bunga-bungaan serta ropol di sana sini. Biarkan ruang terbuka supaya fungsi pelajar datang ke PSS adalah untuk mendapatkan maklumat, berbincang, berdebat dan membuat persembahan secara berkumpulan atau individu.Ruang PSS adalah ruang kerja bukan ruang pameran. GPM dengan kerjasama panitia perlu memikirkan aktiviti yang ada hubung kait. Terutama aktiviti yang melibatkan projek di dalam peperiksaan seperti PT3, SPM dan STPM.
Trend untuk mengadakan Kafe Buku juga perlu dilihat objektifnya. Jika pelajar datang , borak-borak, skrol FB, Twit, You Tube dan membaca email sambil minum-minum nampak “cool” tetapi adakah relevan dengan PDP.
5. Luar PSS
Manfaatkan pondok bacaan dan ruang luar bilik darjah. Aktiviti membaca santai juga boleh berlaku di luar bilik darjah. Pencahayaan semulajadi dengan keindahan alam sangat membantu PDP murid. Suasana jadi berbeza dan tekanan guru juga boleh hilang. “Forest Library” boleh diwujudkan di dalam kawasan sekolah.6. Latihan dan Pendedahan
GPM perlu mendapat latihan dan pendedahan berkaitan PSA21. Tidak cukup dengan ceramah dan teori PDPA21, tetapi tidak mengaplikasikannya kepada diri dan murid. GPM perlu dibenarkan melawat ke sekolah atau mana -mana lokasi yang boleh membuka minda mereka tidak kira dalam atau luar negara.Oleh kerana trend pencarian maklumat telah berubah maka sekolah juga perlu berubah seiring dengan keperluan generasi Z .