Thursday, 24 November 2011
Tazkirah
Pencipta Alam Semesta
Kami telah menerangkan bagaimana Allah menjadikan alam semesta. Sekarang, masanya untuk mengkaji alam ini keseluruhannya. Allah juga menjadikan alam semesta ini di mana kamu, bumi ini, matahari, sistem solar, planet-planet, bintang-bintang, galaksi-galaksi dan semua benda wujud.
Bagaimanapun, sebagaimana terdapatnya mereka yang menentang fakta penciptaan hidupan, terdapat juga mereka yang menolak kenyataan bahawa alam ini telah dijadikan. Mereka mendakwa alam ini muncul secara spontan. Mereka juga mendakwa ia memang telah sedia wujud. Tetapi mereka tidak pernah mengemukakan penjelasan untuk dakwaan yang tidak rasional ini. Dakwaan mereka mirip seperti contoh berikut: Bayangkan kamu telah belayar suatu hari dan telah tiba ke pantai sebuah pulau. Apa yang akan kamu fikirkan jika kamu menemui sebuah bandar moden, dilengkapi dengan bangunan-bangunan pencakar langit, dikelilingi oleh taman-taman indah dan tumbuh-tumbuhan menghijau? Bandar ini juga dilengkapi dengan teater-teater, restoran-restoran dan landasan kereta api. Pasti kamu akan fikir bandar ini telah dirancang dan dibina oleh orang-orang yang bijak, bukankah begitu? Apa pula fikiran kamu jika seseorang menyatakan, “Tiada siapa membina bandar ini. Ia telah sedia wujud, dan tidak berapa lama dahulu kami datang dan menghuninya. Di sini kami menemui semua keperluan kami, dan ia wujud secara spontan”?
Sudah tentu kamu yakin dia tidak siuman, atau kamu fikir dia sebenarnya tidak tahu apa yang dikatakannya. Tetapi jangan lupa alam yang kita huni ini adalah jauh lebih besar daripada bandar tersebut. Cakerawala ini mempunyai sejumlah planet-planet, bintang-bintang, komet-komet dan berbagai jenis satelit yang tidak terkira banyaknya. Dalam keadaan ini, dakwaan seseorang yang menyatakan alam yang serba sempurna ini tidak dijadikan tetapi telah sedia wujud, masih tidak berjawab. Apakah kamu bersetuju?
Selepas membaca bahagian bawah ini, kamu sendiri akan dapat memberikan jawapan yang terbaik. Sekarang, mari kita kembangkan perbincangan kita kepada subjek penciptaan alam semesta dan simpan dahulu jawapan ini sehingga ke akhir.
• Segalanya Mula Terbentuk Di Dalam Letupan Besar
Ketika manusia tidak mempunyai teleskop untuk memerhati langit, mereka mempunyai maklumat yang amat sedikit dan tidak kukuh tentang cakerawala yang jauh ini, mereka mempunyai pendapat berbeza tentangnya. Dengan kemajuan teknologi, mereka telah memperolehi maklumat lebih terperinci tentang angkasa. Pada pertengahan abad ke-20, mereka telah menemui sesuatu yang amat penting. Cakerawala ini mempunyai tarikh lahir, ini bererti ia tidak sedia wujud. Cakerawala ini – dengan kata lain, bintang-bintang, planet-planet dan galaksi-galaksi – mula terbentuk pada satu tarikh tertentu. Pakar sains menganggarkan umur alam ini ialah 15 ribu juta tahun.
Mereka menamakan detik ketika cakerawala ini terbentuk sebagai “Big Bang”, kerana 15 ribu juta tahun dahulu ketika tiada suatu pun wujud, tiba-tiba sahaja segalanya terbentuk dengan satu letupan dari satu titik. Kesimpulannya, jirim dan cakerawala ini, yang didakwa sebagai telah sedia wujud, sebenarnya mempunyai permulaan. Pada peringkat ini, satu persoalan timbul, “Bagaimana mereka tahu ia mempunyai permulaan”? Mudah sahaja; Jirim yang berselerak dan bergerak daripada unsur jirim lain dengan letupan besar, masih bergerak. Fikirkan sejenak! Cakerawala ini terus berkembang sehingga sekarang. Bayangkan cakerawala ini sebagai sebiji belon. Jika kita lukis dua titik kecil di atas belon ini, apa berlaku apabila kamu meniupnya? Titik-titik di atas belon akan bergerak daripada satu sama lain ketika belon itu berkembang dan keluasannya bertambah. Seperti keadaan belon, keluasan cakerawala ini juga bertambah, dan setiap benda di dalamnya akan bergerak daripada satu sama lain. Dengan kata lain, jarak di antara bintang-bintang, galaksi-galaksi, bintang-bintang dan meteor-meteor berkembang secara berterusan.
Bayangkan kamu menyaksikan letupan alam ini di dalam sebuah cerita kartun. Bagaimanakah bentuk alam ini jika kita mengundurkan filem tersebut ke belakang hingga kepada permulaannya? Bukankah ia akan mengecut ke satu titik sahaja? Demikianlah yang dilakukan oleh para ahli sains. Mereka kembali kepada permulaan dan menyedari bahawa alam yang berkembang secara berterusan ini sebenarnya berasal daripada satu titik.
Letupan ini, yang digelar Big Bang, menjadi titik permulaan kewujudan yang Allah tetapkan bagi “alam” ini. Dengan letupan ini, Allah menjadikan zarah-zarah yang menjadikan cakerawala ini, dan dengan itu jirim pun terbentuk. Ia berselerak dengan kelajuan yang menakjubkan. Pada saat-saat awal letupan tersebut, keadaannya adalah seperti sup jirim yang diperbuat daripada berbagai zarah. Tetapi kemudian serakan ini mula berubah menjadi struktur tersusun. Allah menjadikan atom daripada unsur-unsur ini, dan kemudian membentuk bintang-bintang dengan atom. Dan Allah membentuk seluruh cakerawala ini dan setiap apa yang ada di dalamnya.
Mari kita lihat satu contoh untuk menjelaskan perkara ini:
Fikirkan tentang sebuah kawasan yang luas. Ia tidak terbatas. Hanya terdapat semangkuk cat di dalamnya. Tidak wujud benda lain. Di dalam mangkuk ini, semua jenis cat bercampur aduk, membentuk sejenis warna luar biasa. Bayangkan sebiji bom meletup di dalam mangkuk ini, kesannya cat-cat ini berselerak ke serata tempat membentuk bintik-bintik kecil. Bayangkan semua bintik-bintik kecil ini bergerak ke setiap arah di dalam ruang ini. Sementara itu, di dalam perjalanan bintik-bintik kecil ini, perkara aneh mula berlaku. Ia tidak membentuk kekotoran dan akhirnya hilang, sebaliknya mula bertindak balas seolah-olah mereka adalah hidupan berakal. Titisan yang asalnya terbentuk daripada campuran warna mula mengasingkan diri mengikut warna masing-masing. Warna biru, kuning, merah dan semua titisan dari kumpulan warna yang sama berkumpul dan terus bergerak. Kemudian berlaku lagi perkara aneh: Lima ratus titisan biru bergabung dan, di dalam bentuk titisan yang lebih besar ia meneruskan perjalanannya. Pada masa yang sama, tiga ratus titisan merah di satu sudut dan dua ratus titisan kuning bergabung dan terus berselerak bersama. Kumpulan-kumpulan warna yang berbeza ini bergerak daripada satu sama lain dan membentuk imej-imej yang cantik, seolah-olah ia berlaku dengan arahan seseorang.
Sebahagian titisan ini bergabung membentuk imej bintang-bintang, sebahagian yang lain membentuk gambar matahari, dan yang lain pula membentuk planet-planet di sekeliling matahari. Kumpulan titisan yang lain pula membentuk imej bumi, sementara yang lain pula membentuk bulan. Jika kamu melihat imej seperti ini apakah kamu akan menduga satu letupan di dalam sebiji mangkuk cat telah membentuk gambar ini secara tidak sengaja? Siapapun tidak akan berfikiran demikian.
Seperti mana kisah titisan cat ini, jirim juga bergabung dan membentuk gambar sempurna yang kita lihat apabila kita mendongakkan kepala ke langit, dengan kata lain, bintang-bintang, matahari dan planet-planet. Tetapi bolehkah ia berlaku dengan sendirinya?
Bagaimana bintang-bintang di langit, planet-planet, matahari, bulan dan bumi dapat wujud hasil daripada atom-atom yang bercantum secara tidak sengaja selepas satu letupan? Bagaimana pula dengan ibu, bapa, kawan-kawan atau burung, kucing, pisang dan strawberi...? Sudah tentu ia tidak mungkin berlaku. Pendapat seperti ini memang tidak masuk akal, sama juga dakwaan rumah tidak dibina oleh pekerja, tetapi ia terbentuk oleh kehendak bebas jubin-jubin dan batu bata, dan secara kebetulan. Kita sedia maklum batu bata yang berselerak disebabkan oleh satu letupan bom tidak akan membentuk pondok-pondok kecil. Ia berkecai menjadi batu dan tanah dan, lama kelamaan, ia bercampur kembali dengan bumi.
Tetapi satu perkara yang perlu diberi perhatian. Seperti yang kamu tahu, titisan cat adalah benda tidak bernyawa dan berakal. Adalah mustahil untuk titisan-titisan cat dapat bercantum secara spontan dan membentuk gambar-gambar. Tetapi, di sini kita sedang memperkatakan tentang pembentukan benda hidup dan berakal. Adalah terlalu mustahil hidupan seperti manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan dapat muncul daripada benda hidup melalui kebarangkalian rawak.
Untuk memahaminya dengan lebih baik, perhatikan tubuh kita. Ia terdiri daripada molekul-molekul halus yang tidak nampak oleh mata, seperti protein, lemak dan air... Ia membentuk sel, dan sel-sel membentuk tubuh kita. Aturan sempurna di dalam badan kita ini adalah hasil rekaan istimewa. Allah menjadikan mata kita yang dapat melihat, tangan kita yang memegang buku ini dan kaki yang membolehkan kita berjalan. Allah menetapkan bagaimana kita dapat berkembang di dalam rahim ibu kita, ketinggian kita dan warna mata kita.
Allah Menjadikan Segalanya
Jika kamu masih ingat, pada permulaan buku ini kita mencari jawapan yang tepat untuk diberikan kepada orang yang tidak beriman. Sekarang kamu telah pun mempunyai jawapannya. Letupan tidak membentuk lukisan yang baik, tetapi ia hanya akan merosakkannya. Aturan yang berlaku selepas letupan cakerawala ini adalah lebih sempurna daripada contoh-contoh yang kami kemukakan – sebuah bandar besar atau semangkuk cat. Semuanya ini tidak boleh berlaku secara kebetulan.
Sistem yang sempurna ini hanya dapat dilakukan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Allah mampu menjadikan apa sahaja. Dia hanya perlu berkata “Jadi” maka jadilah ia.
Allah telah menjadikan dunia yang indah di dalam cakerawala yang sempurna untuk kita, dan dia menjadikan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan di dalamnya. Dia menjadikan matahari untuk memancarkan cahaya dan memanaskan kita. Meletakkan jarak yang paling sesuai di antara matahari dan bumi, hinggakan jika ia dekat sedikit, dunia kita akan menjadi terlalu panas dan jika ia jauh sedikit sahaja, kita semua akan menjadi beku.
Apabila para ahli sains berjaya menyingkap lebih banyak fakta-fakta ini, kita dapat mengetahui kekuasaan Allah dengan lebih baik. Kerana jirim tidak dapat membuat keputusan atau melaksanakannya. Ini bererti terdapat Pencipta yang mereka dan menjadikan alam semesta ini. Jirim, yang merupakan unsur asas bintang, manusia, haiwan, tumbuhan dan segalanya, sama ada benda hidup atau mati, semuanya berada di bawah kawalan Allah. Kerana itulah, segala benda di dunia ini berada di dalam keadaan tersusun. Kerana semuanya dijadikan Allah, Yang Mencipta dan Merekabentuk.
Allah Menjadikan Setiap Manusia Dengan Takdirnya
Pada permulaan buku ini, kita mengetahui Allah telah menjadikan Nabi Adam (A.S.). Semua manusia adalah keturunannya. Allah telah menganugerahkan kehidupan manusia di dunia ini untuk menguji mereka, dan mengutus mereka rasul-rasul untuk menyampaikan tanggungjawab mereka.
Setiap orang diuji di dunia ini dengan peristiwa yang dialaminya. Dengan kata lain, kita diuji dengan tindakbalas kita terhadap kejadian yang menimpa kita, cara kita bercakap dan kesetiaan kita berhadapan dengan kesukaran. Ringkasnya, bagaimana kita mengawal diri kita dengan betul. Ujian ini akan memberi kesan kepada kehidupan kita selepas kita mati.
Tetapi ujian di dunia ini mempunyai satu rahsia penting. Sebagai rahmat dan kesenangan kepada manusia, Allah menjadikan takdir. Takdir, bererti, setiap kejadian yang dialami seseorang sepanjang hidupnya, telah ditetapkan oleh Allah sebelum dia dilahirkan lagi. Bagi setiap individu, Allah memberikan takdir mereka yang unik.
Untuk memahaminya dengan lebih baik, kita samakannya dengan sebuah filem yang dirakam di dalam sebuah kaset video. Permulaan dan kesudahan filem ini telah diketahui, tetapi kita hanya mengetahuinya selepas menontonnya. Begitu juga dengan takdir. Setiap perkara yang dilakukan oleh seseorang sepanjang hayatnya, setiap peristiwa yang akan dihadapinya, sekolah-sekolah yang akan dimasukinya, rumah-rumah yang akan didiaminya, dan saat kematiannya, semuanya telah ditetapkan.
Setiap peristiwa yang berlaku kepada seseorang itu, samaada ujian baik atau buruk, telah ditetapkan di dalam pengetahuan Allah. Setiap manusia akan diuji berdasarkan kepada senario-senario yang telah ditulis untuknya. Kesimpulannya, bersesuaian dengan senario-senario ini, manusia melalui satu siri kejadian-kejadian, dan keyakinan, dan kemudian tindakannya, begitu juga dengan reaksinya terhadap peristiwa-peristiwa ini, semuanya akan menentukan kehidupannya di akhirat kelak.
Kefahaman tentang takdir adalah suatu rahmat kepada manusia. Ia adalah anugerah Allah. Kerana itu, tidak perlu untuk manusia menyesal terhadap peristiwa-peristiwa yang telahpun ditakdirkan atau merasa bimbang peristiwa-peristiwa yang tidak kamu senangi. Bagi mereka yang sabar berhadapan dengan cubaan-cubaan ini, menyedari tidak ada sesuatupun yang akan berlaku tanpa pengetahuan Allah, Allah memberikan berita gembira tentang syurga. Rasul-rasul Allah memberikan contoh yang baik di dalam keadaan ini. Allah memberikan manusia berita gembira tentang syurga di atas keimanan mereka dan pekerti yang mulia.
Pendahuluan drpd Encik Ardain Abdullah
Assalamualikum dan salam sejahtera.
Untuk pengetahuan tuan/puan blog ini diwujudkan bagi memudahkan sebaran maklumat atau pertanyaan berkaitan aktiviti, berita terkini PKG dan semua pusat sumber sekolah menengah dan rendah di WP Labuan.
Untuk Makluman blog ini belum siap sepenuhnya masih dalam pembinaan dan sebarang kekurangan akan diatasi segera.Akhir kata terima kasih En.Nazmi dan Cik Iera yang bertungkus lumus menyiapkan blog ini. Sekian dan harap maklum. Wassalam
Untuk pengetahuan tuan/puan blog ini diwujudkan bagi memudahkan sebaran maklumat atau pertanyaan berkaitan aktiviti, berita terkini PKG dan semua pusat sumber sekolah menengah dan rendah di WP Labuan.
Untuk Makluman blog ini belum siap sepenuhnya masih dalam pembinaan dan sebarang kekurangan akan diatasi segera.Akhir kata terima kasih En.Nazmi dan Cik Iera yang bertungkus lumus menyiapkan blog ini. Sekian dan harap maklum. Wassalam
Subscribe to:
Posts (Atom)